6.12.11

Hanya Kerana Wuduk


"Saya susah untuk bertemu dengan orang yang lebih rendah (fizikal) daripada saya. Hari ni dah berjumpa," tegur seorang tua 'Mat Saleh' kepada saya ketika saya sedang membelek sebuah foto di ruang pameran Muzium Kesenian Islam.
 
 "Are you Muslim?" tanya saya. "Ya, saya Muslim. Saya kahwin dengan perempuan Melayu Pahang," katanya fasih berbahasa Melayu.
 
 Selepas pertemuan itu, saya menjejakinya di sebuah kediaman yang telah membongkar siapa 'Mat Saleh' itu sebenarnya.
 
 Dia ialah Dato' Prof Dr. Haji Rudi Salinger, pemilik rumah tradisional Melayu yang memenangi Anugerah Aga Khan (1998), sebuah pengiktirafan dunia kepada pencinta seni tradisi. Sebelumnya, anak kelahiran Perancis ini adalah Profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia. Tanpa menyerlahkan siapa dirinya yang sebenar, Dato' Rudi melayani saya bagai seorang cucu.

  Dia menetap di Malaysia sebelum merdeka. Kecintaannya pada seni kraftangan dan budaya Melayu menyebabkan dia terus berada di sini. Isteri pertamanya meninggal dunia di sini, lalu dia berkahwin dengan gadis Melayu.

  "Allah anugerahkan saya tangan yang boleh buat macam-macam kerja termasuk memasak," ujarnya yang mahu menyediakan masakan istimewa untuk saya.

  Kala menyantapi makanan, kami berbual mesra. "Bagaimana Dato' boleh tertarik dengan Islam?" tanya saya.

  Dia mengelap air mata. Soalan itu mengharukan dirinya.

  "Saya melihat rakan sekerja mengambil wuduk di sinki, hati saya pelik dengan teman ini. Dia menjaga agamanya walau di mana pun dia berada. Saya juga berkesempatan menghadiri upacara pengebumian jenazah Muslim. Hati saya tersentuh melihat mayat dimandikan, diwudukkan, kemudian dikafankan dengan tertib. Di situ minat mendalami Islam telah tumbuh," cerita Dato' Rudi; bersyukur diberi hidayah oleh Allah.

  Masya-Allah, siapa sangka, hanya dengan uswah ketertiban Islam telah melunakkan seorang manusia untuk menjadi Muslim. Sekian.



Kisah benar dari buku 100 Kisah Kehidupan.
Nurdina Aqilah Zainal, 23 Nov