Putus Asa itu Membunuh
Seorang pekerja di kilang makanan sejuk beku telah terperangkap tanpa sengaja dalam sebuah bilik sejuk beku. Puas dicuba untuk membuka pintu bilik sejuk itu tetapi tidak berdaya. Dia menjerit, tidak ada sesiapa yang mendengarnya.
Kedinginan mula menyerap ke tubuhnya. Dia begitu takut dan bimbang. Siapa yang akan menyelamatkannya?
Setelah ditunggu beberapa lama, tidak ada sesiapa pun yang datang. Kali ini pekerja itu benar-benar berputus asa. Dalam hatinya terdetik, kali ini matilah aku.
Dirasakan kedinginan dalam bilik itu semakin mengigit hingga ke tulang. Setelah berasa yakin tidak ada siapa yang datang, pekerja itu mengeluarkan sekeping nota dan dia mula menulis... surat wasiat!
Dalam surat wasiat itu dengan sedih dia berpesan dan memberi amanat kepada isteri dan anak - anaknya. Bukan itu sahaja, dia turut menceritakan apa sahaja yang dirasakannya saat itu, termasuk sejuk menggigil yang mencengkam sampai ke tulang.
Keesokan harinya, apabila pintu bilik sejuk itu dibuka oleh beberapa pekerja yang lain, mereka terkejut melihat sekujur mayat terbujur kaku dengan surat wasiat di tangan. Malah mereka lebih terkejut, bagaimana pekerja itu boleh mati? Adakah kerana kesejukan? Tidak, kerana bilik sejuk itu tidaklah sedingin mana. Suis penghawa dingin di bilik itu telah dimatikan sejak semalam!
Pengajaran
Putus asa menyebabkan ramai manusia mati sebelum mati sebenar. Malah ada yang mati berkali-kali sebelum mati yang sebenar. Hiduplah selagi hidup. Berusaha dan berjuanglah berbekalkan satu harapan. Keep hope alive!
Buku bertajuk 'Angguk Geleng- Himpunan kisah dakwah satira'
oleh Pahrol Mohamad Juoi, Husna Hassan